Struktur dan Fungsi Daun
Advertisements
2.3 - Organ Utama Transpirasi
Konsep Transpirasi
Transpirasi ialah satu proses kehilangan air dalam bentuk wap air dari tisu tumbuhan (terutamanya daun) ke atmosfera secara penyejatan melalui stoma (merangkumi 90% daripada kehilangan air).
Keperluan Transpirasi:
- Menghasilkan daya tarikan transpirasi yang menarik air dan garam mineral terlarut dari akar ke daun melalui salur xilem.
- Memberikan kesan penyejukan kepada tumbuhan pada hari panas dengan menyerap haba pendam pengewapan.
- Membekalkan air kepada sel tumbuhan untuk fotosintesis, mengekalkan ketegaran (turgiditi) sel, dan aktiviti metabolisme.
Gutasi
Gutasi ialah proses penyingkiran air dalam bentuk titisan air melalui liang khas yang terletak di hujung margin daun yang dikenali sebagai hidatod.
Gutasi berlaku apabila tekanan akar adalah tinggi dan kadar transpirasi adalah rendah, biasanya pada waktu malam atau awal pagi ketika kelembapan udara sangat tinggi.
Perbezaan Antara Transpirasi dan Gutasi
Bentuk air yang hilang: Transpirasi kehilangan air dalam bentuk wap air, manakala gutasi kehilangan air dalam bentuk titisan air cecair.
Liang yang terlibat: Transpirasi berlaku melalui stoma, lentisel, dan kutikel; manakala gutasi berlaku melalui hidatod sahaja.
Kandungan air: Air transpirasi adalah air tulen; air gutasi mengandungi garam mineral terlarut, gula, dan bahan organik.
Waktu berlaku: Transpirasi berlaku terutamanya pada hari panas, kering, dan berangin; manakala gutasi berlaku pada waktu malam atau awal pagi yang lembap.
Faktor Persekitaran yang Mempengaruhi Kadar Transpirasi
1. Keamatan Cahaya
Peningkatan keamatan cahaya merangsang liang stoma untuk terbuka dengan lebih luas.
Ini meningkatkan kadar transpirasi sehingga mencapai satu tahap maksimum apabila semua stoma telah terbuka sepenuhnya.
2. Suhu
Peningkatan suhu meningkatkan tenaga kinetik molekul air, mempercepatkan kadar penyejatan air dari sel mesofil ke ruang udara.
Oleh itu, kadar transpirasi meningkat apabila suhu meningkat (sehingga had di mana stoma tertutup untuk mengelakkan kekeringan).
3. Pergerakan Udara (Angin)
Angin menyingkirkan wap air yang terkumpul di sekitar liang stoma.
Ini mengekalkan kecerunan kepekatan wap air yang curam antara bahagian dalam daun dan atmosfera, seterusnya meningkatkan kadar transpirasi.
4. Kelembapan Relatif Udara
Kelembapan relatif udara yang tinggi di atmosfera mengurangkan kecerunan kepekatan wap air antara ruang sel di dalam daun dengan udara luar.
Oleh itu, kadar transpirasi menurun apabila kelembapan relatif tinggi, dan meningkat dalam keadaan udara kering (kelembapan rendah).
Advertisements
Answer practice questions to test your knowledge
Practice