WeAcademia

Kedaulatan Negara

1.1 - Konsep Kedaulatan

Takrif Kedaulatan

Kedaulatan ditakrifkan sebagai kekuasaan tertinggi dan kewibawaan sesebuah negara yang bebas serta mempunyai hak untuk melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran negara.

  • Kedaulatan negara kita dapat dilihat dengan lebih jelas sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

  • Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 mengukuhkan serta memantapkan negara bangsa kita yang bebas dan berdaulat.

Takrifan Mengikut Bahasa

  • Bahasa Yunani: Berasal daripada perkataan supernuus atau superanus yang bermaksud agung atau tertinggi. Ia merujuk kepada negara yang bebas dan merdeka.

  • Bahasa Inggeris: Berasal daripada perkataan sovereignty yang bermaksud negara mempunyai kuasa penuh terhadap pemerintahan.

  • Bahasa Arab: Berasal daripada perkataan daulah yang bermaksud kuasa pemerintahan sesebuah kerajaan.

  • Bahasa Melayu: Kedaulatan merujuk perkataan daulat yang bermaksud kekuasaan tertinggi terhadap pemerintahan negara.

  • Kesimpulannya, kedaulatan merujuk kuasa tertinggi sesebuah kerajaan bagi menjalankan pemerintahan negara yang bebas dan merdeka.

Pandangan Tokoh

  • Aristotle (Ahli Falsafah Yunani): Kedaulatan merupakan kuasa tertinggi dalam sistem pemerintahan sesebuah negara. Kedaulatan merujuk kepada kerajaan yang terikat oleh undang-undang.

  • Ibnu Khaldun (Ilmuwan Islam): Kedaulatan merupakan kekuatan dan kekuasaan sesebuah negara berasaskan semangat kekitaan bangsanya. Kekuatan semangat kekitaan yang diiringi dengan kekuatan semangat beragama menyebabkan sesuatu bangsa rela untuk berkorban demi mencapai cita-cita yang sama.

  • Jean Bodin (Ahli Falsafah Politik Perancis): Kedaulatan merupakan kuasa tertinggi dalam sesebuah negara. Kedaulatan mempunyai sifat kekal dan mempunyai kuasa tidak terbatas untuk membuat undang-undang, mentafsir dan melaksanakannya.

  • Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (Perdana Menteri Malaysia Pertama): Kedaulatan dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan yang sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

  • Tun Dr. Mohamed Salleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara): Kedaulatan merupakan asas negara yang merdeka, memiliki kebebasan pada peringkat antarabangsa bersama dengan hak dan kuasa untuk mengatur urusan dalam negeri tanpa telunjuk asing.

Jenis Kedaulatan

Kedaulatan Tradisional

  • Merujuk kepada sistem pemerintahan berkuasa mutlak yang menguasai sepenuhnya segala urusan negara.

  • Sistem ini wujud sejak zaman tamadun awal manusia.

  • Bagi negara kita, kedaulatan berpaksi pada kedaulatan Raja-raja Melayu. Kedaulatan terletak pada kekuasaan dan kewibawaan raja.

  • Raja merupakan pemerintah yang mempunyai kuasa tertinggi. Kedudukan dan kedaulatan raja diperkukuh oleh taat setia rakyat.

Kedaulatan Moden

  • Dikaitkan dengan kemunculan idea negara bangsa selepas Revolusi Keagungan di England dan Revolusi Perancis.

  • Dikaitkan juga dengan hak rakyat dan kerajaan berperlembagaan.

  • Selepas Perang Dunia Pertama, kedaulatan dikaitkan dengan nasionalisme yang menggunakan unsur persamaan rumpun bangsa dan bahasa untuk membentuk negara bangsa masing-masing.

  • Kedaulatan negara kita lahir hasil gabungan negeri yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Persekutuan Malaysia 1963.

Kedaulatan Undang-undang

  • Membawa maksud kerajaan dan rakyat terikat oleh undang-undang yang perlu dipatuhi.

  • Menjamin keadilan dalam kehidupan bermasyarakat serta melahirkan negara yang aman, stabil dan makmur.

  • Badan kehakiman yang bebas dan berwibawa diwujudkan untuk memelihara dan melaksanakan kedaulatan undang-undang.

  • Kedaulatan undang-undang menjadi prinsip keempat dalam Rukun Negara.

Kedaulatan Antarabangsa

  • Merujuk pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap sesebuah negara yang tidak boleh dicabuli oleh negara lain.

  • Deklarasi Hubungan Persahabatan PBB 1970 mengesahkan prinsip persamaan kedaulatan dari segi undang-undang antarabangsa.

  • Keanggotaan negara kita dalam PBB membuktikan bahawa dunia mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

Advertisements

Answer practice questions to test your knowledge

Practice

Join our community on Whatsapp!