WeAcademia

Kedaulatan Negara

1.4 - Langkah Mempertahankan Kedaulatan

Mewujudkan Kestabilan Politik dan Kemakmuran Ekonomi

  • Pemerintah melaksanakan pentadbiran dengan cekap serta menjalankan usaha dan program bagi memajukan ekonomi.

  • Rakyat memberikan kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan usaha dan program yang dilaksanakan oleh pemerintah.

Peranan Pemerintah

  • Mewujudkan pentadbiran yang cekap.

  • Mengelakkan amalan rasuah dalam pentadbiran.

  • Memastikan agihan sumber kekayaan negara secara adil kepada semua kaum melalui dasar pembangunan ekonomi.

  • Melaksanakan undang-undang negara menurut perlembagaan secara berkesan.

Peranan Rakyat

  • Memberikan kesetiaan kepada raja dan negara.

  • Menyokong segala usaha dan dasar kerajaan bagi mewujudkan kestabilan politik.

  • Memupuk kerjasama dengan semua kaum supaya agihan kekayaan negara dinikmati oleh semua.

  • Mematuhi undang-undang negara.

Mengekalkan Perpaduan Kaum

  • Perpaduan penting dalam usaha mengekalkan kedaulatan negara.

Peranan Pemerintah

  • Menggubal dasar dan undang-undang berkaitan dengan perpaduan kaum serta integrasi nasional.

  • Memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar berkaitan dengan bahasa, pendidikan dan kebudayaan oleh kementerian serta agensi berkaitan.

  • Merangka program serta kempen ke arah memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional.

  • Memperuntukkan perbelanjaan yang mencukupi untuk program memupuk perpaduan kaum.

Peranan Rakyat

  • Menggunakan bahasa kebangsaan dan menghayati prinsip Rukun Negara yang dapat menjamin perpaduan kaum.

  • Memahami dan menghormati agama serta budaya pelbagai kaum.

  • Mengamalkan semangat perkongsian, bertoleransi dan saling menghormati sesama rakyat Malaysia.

  • Melibatkan diri dalam program kemasyarakatan yang dapat memupuk kerjasama antara kaum.

Memupuk Patriotisme

  • Patriotisme ialah perasaan cinta yang mendalam terhadap negara serta sanggup mempertahankan sejarah, bahasa, undang-undang, warisan dan budaya.

  • Patriotisme merupakan nadi kepada kebebasan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara.

  • Semangat patriotisme melahirkan pemimpin dan rakyat yang taat setia serta sanggup berkorban demi negara.

Peranan Pemerintah

  • Menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Pahlawan untuk menimbulkan kecintaan terhadap negara.

  • Mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran teras di sekolah bagi melahirkan generasi yang peka terhadap sejarah negara.

  • Menganjurkan kempen dan menerbitkan filem atau rencana untuk memupuk patriotisme melalui pelbagai media.

  • Memberikan pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang berjasa kepada negara dengan mengabadikan nama mereka pada bangunan dan jalan.

Peranan Rakyat

  • Menghormati lambang negara seperti bendera Jalur Gemilang, Jata Negara dan lagu Negaraku.

  • Menyanjungi dan menghargai adat dan warisan negara.

  • Meningkatkan imej negara dengan melakar kejayaan dalam bidang pendidikan, sukan dan ekonomi.

  • Menghargai tokoh pelbagai kaum yang berjuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Mengukuhkan Pertahanan Negara

  • Pemerintah dan rakyat bertanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

  • Pertahanan negara penting untuk mengekalkan kedaulatan negara kita.

Peranan Pemerintah

  • Menggubal dasar dan undang-undang untuk melindungi keselamatan negara.

  • Mengadakan perjanjian pertahanan serta latihan ketenteraan bersama-sama negara serantau dan antarabangsa.

  • Memodenkan aset ketenteraan untuk mengukuhkan pasukan pertahanan negara.

  • Memastikan pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran semasa.

Peranan Rakyat

  • Peka terhadap isu keselamatan negara, contohnya memberikan maklumat tentang pencerobohan sempadan negara.

  • Mengelakkan kolaborasi dengan pihak luar yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

  • Menganggotai pasukan keselamatan dan pasukan sukarelawan untuk mempertahankan negara.

  • Sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.

  • Kerjasama pemerintah dengan rakyat dalam mengekalkan kedaulatan menghasilkan keamanan dan kesejahteraan.

  • Menghormati kepelbagaian budaya dan agama mengukuhkan perpaduan bangsa Malaysia. Perpaduan dan kerjasama kaum menjadi teras kemakmuran, kelangsungan serta kedaulatan negara.

Advertisements

Answer practice questions to test your knowledge

Practice

Join our community on Whatsapp!